SEJARAH SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat, Batu Pahat (nama asalnya Sekolah Melayu Seri Mendapat) telah dibina pada tahun 1936. Sekolah ini terletak di Kampung Seri Mendapat, dalam Mukim VII Tanjung Sembrong, Batu Pahat. Sekolah ini dibina di atas lot tanah bernombor 7612 dengan keluasannya 2 ekar 0 rode 31 pole. Tanah ini telah diwakafkan oleh Ketua Kampung Seri Mendapat iaitu Allahyarham Naib Ali Ahmad bin Hj. Abu Bakar.
Pada asalnya bangunan sekolah ini telah dibina dengan cara gotong royong dari bahan-bahan kayu yang diambil daripada hutan di sekitar Kampung Seri Mendapat dan atapnya adalah atap rumbia, berdinding papan sekerat dan berlantai tanah. Jumlah murid pula seramai 120 orang dengan empat orang guru. Guru Besar pertama ialah Encik Nor Rahmat.
Pada tahun 1945, sekolah ini terpaksa ditutup disebabkan bangunan ini telah musnah di bakar oleh komunis. Pada Mac 1947, bangunan baru dibina juga dengan gotong royong. Antara mereka yang bertanggungjawab untuk pembinaan sekolah ini ialah Tn. Hj. Aini bin Hj. Jaafar, Tn. Hj. Ramli bin Hj. Salleh dan Hj. Mohd bin Hj. Abdul Rashid. Guru Besar pada ketika itu ialah Allahyarham Encik Abd. Ralim. Sekolah ini berkembang dan terus maju. Bilangan murid bertambah dan begitu juga dengan bilangan guru. Tn. Hj. Sufaat bin Hj. Rais telah dilantik sebagai Guru Besar untuk menggantikan En. Abd. Ralim.
Pada 1 April 1953 sebuah bangunan berukuran 20 kaki X 60 kaki didirikan oleh penduduk tempatan bagi menggantikan bangunan yang lama. Tanggal Mei 1959, dengan pertambahan murid maka kerajaan telah membina bangunan baru yang bertiang batu berukuran 90 kaki X 30 kaki. Nombor bangunan ini ialah PWD/BP/816 dan didaftarkan dengan nombor pendaftaran JKR/BP/1739 pada 3 Disember 1959. Pada ketika itu murid seramai 372 orang.
LAGU SEKOLAH
Tersergam indah bangunannya
Tempat kami menuntut ilmu
Usaha maju dan juga jaya
Cogan kata sekolah kami
Beri pendidikan berkesan
Jadi insan berkebolehan
Sahsiah tinggi itulah misi
SKSM unggul terbilang
Guru ibu bapa dihormati
Rakan dan taulan dikasihi
Tekun tabah dan berani
Demi mengejar cita murni
Dipanjat doa pada Yang Esa
Semoga limpah kurnia
Kepada guru serta muridnya
SK Seri Mendapat (3x)
LENCANA SEKOLAH
LENCANA SEKOLAH
Slogan :
Usaha Maju Jaya
Buku :
Simbolik sumber ilmu pengetahuan yang wajar dimanfaat untuk mencapai kejayaan
Kuning :
Adalah menjadi harapan semua untuk melihat generasi bermaruah berwawasan dan maju jaya
Merah :
Tabah dan berani serta bersemangat menghadapi segala cabaran
BENDERA SEKOLAH
1. Warna Kuning pada sebahagian kain melambangkan kesetiaan kepada raja dan negara.
2. Warna Biru pula melambangkan keharmonian, perpaduan, tolak ansur dan persefahaman antara warga sekolah.
3. Warna Merah pada lencana sekolah melambangkan keberanian dan kegagahan warga sekolah dalam mengharungi cabaran pembentukan insan berketrampilan.
4. Warna Hijau melambangkan kedamaian tempat untuk menimba ilmu pengetahuan peringkat asas dalam kehidupan.
Baru tahu sejarah sekolah lama. Sadis juga ya usaha nak bangunkan sekolah ni dulu. Bangga pernah jadi pelajar SKSM suatu ketika dahulu...
ReplyDeletesekolah saya serta adik beradik menuntut ilmu dari dj 1 hingga dj 6.
ReplyDelete